KUANTAN: Seramai 240 wanita dari kawasan Parlimen Indera Mahkota mengisi slot pemeriksaan awal barah payudara hari pertama menerusi Prorgram Cakna Suri di Pahang Medical Center PMC di sini, iaitu pumamogram dilantik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), hari ini.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Parlimen Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusof berkata, mereka terdiri wanita daripada golongan B40 berusia 40 hingga 68 tahun.

“Sebanyak enam bas disediakan yang mana sebuah bas memuatkan 40 orang bagi kawasan (Parlimen) Indera Mahkota untuk menjalani pemeriksaan hari ini, Isnin depan ada satu bas lagi.

“Pihak penganjur juga sempat memberi penerangan ringkas mengenai pentingnya menjalani pemeriksaan ini dan Alhamdulillah, ramai dalam kalangan mereka mempunyai kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan sebegini diadakan,” katanya ketika ditemui di PMC di sini, hari ini.

Bagi Halimah Mat, 61, dari Kampung Cherating, dekat sini, walaupun pernah melakukan pemeriksaan dengan biaya sendiri dua tahun lalu, dia tidak melepaskan peluang apabila kerajaan negeri melaksanakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan EXCO Wanita (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin) yang banyak sekali membantu golongan wanita di Pahang.
“Maklumlah, orang kampung banyak yang kurang berkemampuan dan tak faham kenapa perlu buat pemeriksaan. Harapnya program ini diteruskan lagi pada masa depan,” katanya.
Fauziah Mat Juah, 63, juga dari Kampung Cherating berkata, program itu amat baik untuk wanita luar bandar.
“Kerajaan (negeri) patut lebih giatkan lagi sesi penerangan sebab orang kampung ramai yang malu dan takut untuk pergi ‘scan’ (saringan). Apapun kami amat bersyukur dan berterima kasih apabila kerajaan amat prihatin kepada kaum wanita,” katanya.
Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi ujian mamogram percuma kepada 6,000 wanita dalam kalangan B40 di negeri ini melalui Program Cakna Suri.
Inisiatif itu dilaksanakan Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).