UKM bantu mangsa banjir di Pahang

UKM bantu mangsa banjir di Pahang

TEMERLOH: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Skuad Misi Bantuan Kasih memperuntukkan RM25,000 untuk membantu mangsa banjir di Pahang.

Al-Quran antara yang disumbang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada mangsa banjir di Temerloh.

  Peruntukan itu membabitkan sumbangan barangan iaitu naskhah al-Quran dan surah Yasin, bantal, sejadah, tikar plastik, sabun, pelitup muka dan alat tulis.

Tikar plastik yang disumbang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada mangsa banjir di Temerloh.

  Pengarah Misi Bantuan Kasih, Prof Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan warga dan alumni UKM kerana Pahang antara negeri yang terjejas teruk ketika bencana banjir, baru-baru ini.

  Katanya, sumbangan barangan keperluan itu diagihkan ke beberapa maahad tahfiz serta Pusat Pengumpulan Lanchang dan Semantan di Temerloh.


  “Sebenarnya, Skuad Misi Bantuan Kasih ini berjaya mengumpul dana sejumlah RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di Pahang dan Kelantan dengan masing-masing menerima RM25,000,” katanya.

  Sumbangan barangan itu disampaikan Dr Mohd Syuhaimi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

  Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, usaha murni itu antara contoh terbaik sumbangan warga UKM kepada masyarakat.

  Katanya, Misi Bantuan Kasih menunjukkan keprihatian UKM sebagai sebuah universiti yang merakyatkan ilmu dan bakti kepada masyarakat.

  “Misi ini juga adalah kesinambungan kejayaan Misi Bantuan Kasih pertama yang dilaksanakan di Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini,” katanya.