Umno Cameron Highlands mahu PM kekal sampai habis penggal

Umno Cameron Highlands mahu PM kekal sampai habis penggal

CAMERON HIGHLANDS: Umno Bahagian Cameron Highlands menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk terus menerajui kerajaan sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14.

Namun pada masa sama, bahagian Umno berkenaan meluluskan usul menyokong penuh institusi Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk menentukan hala tuju parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15).

Dalam satu kenyataan hari ini, Umno Bahagian Cameron Highlands yang dipimpin YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, mahu supaya Ismail Sabri diberi ruang sebaiknya untuk untuk mentadbir negara bagi menyelesaikan krisis negara selain mempertahankan kestabilan politik ketika pendemik Covid-19 masih menjadi ancaman kepada kelangsungan hidup rakyat.  

“Kita menyedari negara sedang berdepan cabaran getir khususnya dalam soal politik dan ekonomi.

“Maka kita hendaklah memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab besar beliau di dalam memacu kembali negara ini ke landasan betul,” kata kenyataan itu.

Usul berkenaan dicadangkan Ketua Puteri Umno Cameron Highlands merangkap Ketua Puteri Umno Pahang, Masliana Ahmad. 

Selain itu, Umno Cameron Highlands sebulat suara berdiri teguh di belakang kepemimpinan YAB Dato’ Seri Wan Rosdy selaku Ketua Bahagian Cameron Highlands merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang.

Bahagian berkenaan juga menzahirkan kekaguman kepada Wan Rosdy yang berjaya meningkatkan pendapatan kewangan Pahang sejak mula menjadi Menteri Besar tiga tahun lalu.

“Pahang mencatat ‘budget’ (Belanjawan Pahang 2022) ‘surplus’ (lebihan) dan buat pertama kalinya bagi tahun 2022 menyasarkan budget melebihi RM1 bilion. 

“Slogan ‘This is Pahang’ telah membawa negeri ini ke suatu mercu tanda kejayaan, negeri yang terkehadapan dalam pelbagai aspek, sama ada kestabilan politik dan ekonomi; perpaduan ummah serta kebajikan rakyat,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Umno Cameron Highlands juga menyokong terus perpaduan ummah di Pahang demi  orang Melayu dan Islam melalui pengukuhan hubungan baik dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). – HELMY ABD RAHMAN