UMNO doakan tiada lagi sekatan untuk rakyat menjelang 2022

UMNO doakan tiada lagi sekatan untuk rakyat menjelang 2022

Oleh Husin Ibrahim  

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUALA LUMPUR:  UMNO mendoakan dan berharap sangat agar negara kembali pulih seperti sediakala walaupun kemungkinan besar tidak sepenuhnya menjelang 2022.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO,  berkata rakyat pula diharapkan boleh membiasakan diri hidup dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda. 

Shahril berkata, apapun bentuk bantuan kepada rakyat dalam keadaan sekarang ini seperti kewangan dan makanan sebenarnya hanya bersifat sementara. 

Oleh itu, katanya, rakyat perlu segera diberi ruang untuk kembali aktif dalam kegiatan ekonomi supaya rezeki mereka akan kembali seperti sediakala.

“Dalam masa sama, rakyat masih memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan terutama di segi kewangan supaya mereka mempunyai modal sebagai pemulanya. 

“Ini juga ada kaitannya dengan elemen pelaburan. Cuma dalam lingkungan pelaburan tempatan yang akan berkembang menjadi pelaburan lebih luas.

“Inilah juga putaran ekonomi daripada ikhtiar yang kecil-kecilan yang kemudian berkembang ke arah membantu pemulihan ekonomi negara, ” kata Shahril dalam temubual di pejabatnya di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC) .

Shahril berkata, jika negara di dalam keadaan ‘lockdown’ berterusan, sudah pasti kegiatan ekonomi terhalang dan pemulihan negara sukar dilakukan. 

“Kita doakan agar semua pihak memainkan peranan untuk memulihkan ekonomi tempatan yang kemudian dilebarkan jaringannya ke arah merancakkan semula sektor swasta.

“Saya berdoa agar negara akan kembali pulih 2022. Jika ia berlaku, beberapa bantuan seperti moratorium contohnya tak perlu dilaksanakan. 

“Kalau kita buka ‘lockdown’ esok sebagai contohnya, tak semestinya kita terus kembali seperti biasa kerana kegiatan ekonomi sedia ada sudah amat terkesan. 

“Banyak syarikat sudah ditutup, peniaga kecil dan sederhana terjejas,  peluang pekerjaan terlalu sempit, pendapatan rakyat terjejas dan terhad dan semua pihak tertekan dengan keadaan semasa. 

“Kita boleh kembali bangkit tapi perlu membiasakan diri kehidupan dalam keadaan COVID-19 yang belum pulih dengan corak kehidupan berbeza berbanding sebelum pandemik,” katanya.

Berkaitan unjuran moratorium oleh Kepimpinan UMNO,  Shahril berkata, ia adalah ceminan perjuangan mesra rakyat UMNO – parti yang sentiasa prihatin terhadap kehidupan akar umbi.

“UMNO amat prihatin dengan apa yang berlaku terhadap rakyat yang terjejas teruk dengan sekatan untuk mereka mencari pendapatan,” katanya.