TEMERLOH: Seramai 20 ahli dari Umno Bahagian Kuala Krau turun padang untuk membantu calon Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) N 09 Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata delegasi Umno Bahagian Kuala Krau itu yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, akan meyertai kira-kira 100 delegasi Umno Pahang.
“Umno Pahang menghantar jentera bagi membantu kempen PRN Melaka serta ditempatkan di Alor Gajah yang merangkumi Dun Durian Tunggal, Gadek, Rembia, Machap Jaya dan Asahan.
“Bagi Umno Kuala Krau, kita akan berkampung di Dun Durian Tunggal untuk membantu calon BN kita. Apa yang penting ialah semua perlu menjaga SOP (prosedur operasi standard) bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November ini, ekoran pembubaran Dun susulan empat Ahli Dun (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan Dun, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.
Seramai 22 calon Bebas mempertaruhkan nasib termasuk bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mempertahankan kerusinya di Dun berkenaan. -KABHI ISMAIL