UMNO Kuantan sokong penuh kenyataan YAB Pengerusi BN Pahang

UMNO Kuantan sokong penuh kenyataan YAB Pengerusi BN Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan menyokong penuh kenyataan media oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada 29 Julai dan 1 Ogos lalu mengenai kenyataan politik yang mempunyai unsur manipulasi demi kepentingan politik.

Ketuanya, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, sebagai parti politik bertunjangkan kepada kedaulatan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen selain kecintaan terhadap Rukun Negara, UMNO Bahagian Kuantan melihat kedua-dua isu berkenaan sebagai amat serius.

Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar

“Sebarang usaha yang membelakangkan prinsip Perlembagaan Persekutuan adalah tidak wajar. Institusi Raja adalah sebuah institusi berdaulat dan seharusnya dihormati sebagai sistem semak dan imbang tertinggi dalam negara.

“Sudah pasti segala keputusan dibuat selepas mengambil kira kesejahteraan rakyat dan bukannya memihak kepada kepentingan mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, UMNO Bahagian Kuantan menjunjung tinggi serta taat setia kepada Raja sebagai Ketua Negara dan meletakkan rakyat sebagai agenda utama.