Umno Mahu Tindakan Tegas- Wan Rosdy

KUANTAN 20 MAC 2024 (FIKRAH PAHANG)- Umno akan memastikan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam penjualan stoking tertera kalimah Allah, kata Naib Presidennya, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya, isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway Piramid, Petaling Jaya telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini dan isu ini wajar diselesaikan dengan segera sebelum ia melarat menjadi sesuatu yang lebih buruk.

“Ia merupakan satu penghinaan kepada Islam sebagai agama Persekutuan terutamanya bagi kami yang menganutinya”. katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, laporan polis sudah dibuat oleh Pergerakan Pemuda Umno dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya memohon agar seluruh rakyat di negara ini dapat menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan” katanya.

Oleh: Kabhi Ismail