Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyokong penuh kenyataan media oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang semalam yang menyatakan pendirian UMNO berkaitan kemelut semasa.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta kepemimpinan dan ahli-ahli parti pelbagai peringkat untuk terus bersama-sama menyokong keputusan berkenaan yang selari dengan keputusan dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
“Sambil itu, fokus kita hendaklah ke arah menangani kemaslahatan rakyat yang sehingga kini masih terkesan dengan pelbagai langkah dan kekangan dihadapi akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Malah katanya, kenyataan Perdana Menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan Baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.