KUANTAN 02 APRIL 2023 (FIKRAH PAHANG) – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang bermesyuarat buat kali pertama 2023-2026 telah bersetuju untuk melantik lapan pegawai termasuk pengerusi lima majlis yang baharu dalam usaha bagi memperkukuhkan lagi parti dan mendapat sokongan rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelantikan ini diharapkan dapat membantu Umno Pahang untuk bangkit, kekal relevan serta terus diyakini rakyat Pahang terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Pelantikan itu membabitkan lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim dilantik Setiausaha UMNO, Adun Benta, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak sebagai Bendahari , Adun Dong, Fadzli Mohamad Kamal dilantik sebagai Ketua Penerangan, Adun Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dilantik Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama UMNO Negeri Pahang dan Adun Guai, Dato’ Sabariah Saidan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Negeri.
Turut dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin pula dilantik sebagai pengerusi majlis sekretariat muafakat wakil rakyat Umno Pahang, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Dato’ Sri Ismail Mohamed Said dipilih sebagai pengerusi majlis keahlian dan perundangan Umno Pahang dan Ketua Umno Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin pula dipilih mengetuai majlis pengkaderan dan latihan Umno Pahang.
“Saya berharap, kepimpinan yang dilantik ini akan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi,” ujarnya dalam satu kenyataan Facebook rasminya hari ini.
oleh KABHI ISMAIL