UMNO Pahang mendoakan Najib, keluarga tabah

UMNO Pahang mendoakan Najib, keluarga tabah

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang menzahirkan rasa sedih berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Dato’ Sri Najib Razak.

Pengerusinya, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata UMNO Pahang mendoakan semoga bekas Perdana Menteri itu dan keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kecekalan untuk menghadapi ujian yang cukup berat itu.

“Bagi kami, amat besar jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Dato’ Sri Najib dalam membangun dan memajukan negeri Pahang serta negara ini sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Pahang satu ketika dahulu.

“Justeru, kami amat menghargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah beliau curahkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Wan Rosdy berkata, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi Najib dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada UMNO Pahang.

“Insya Allah, Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir dan diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Mahkamah Persekutuan, semalam, mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN