UMNO Pahang sambut baik saranan Tok Mat berhubung pendirian PAS

UMNO Pahang sambut baik saranan Tok Mat berhubung pendirian PAS

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyambut baik saranan Timbalan Presiden parti, Dato’Sri Mohamad Hasan supaya PAS, rakan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) menyatakan pendirian sama ada mahu bersama MN atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, saranan berkenaan amat wajar supaya tidak timbul sebarang konflik pada PRU-15 seandainya kedua-dua MN dan PN membuat keputusan meletakkan calon masing-masing bertanding di kawasan sama. 

“Di Pahang, seperti diperakui sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Rosli Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu, pilihannya ialah MN yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“MN juga telah diperakui sebagai model terbaik untuk politik negeri ini, demi kejayaan cemerlang pada PRU-15.

“Oleh itu saya berharap, PAS Pusat dapat turut membuat pendiriannya seperti saranan Dato’ Sri Mohamad agar dapat mengelakkan kekeliruan dan perasaaan syak wasangka bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO malah saya percaya, juga dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.