UMNO Pahang tak halang hasrat Ismail Mutalib bertanding atas tiket PN

UMNO Pahang tak halang hasrat Ismail Mutalib bertanding atas tiket PN

LIPIS: UMNO Pahang tidak menghalang penyandang kerusi Parlimen Maran, Dato’ Sri Ismail Abdul Mutallib untuk bertanding di Maran mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata semua calon berhak bertanding berasaskan prinsip demokrasi menerusi parti pilihan masing-masing.

“Kita tidak boleh halang sebab beliau (Ismail) dicalonkan oleh pemimpin tertinggi (PN). Terpulanglah, kita tidak boleh buat apa. Sebab kita demokrasi,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam FELCRA di Sungai Damak Jerangsang Mukim Tanjung Besar, di sini, hari ini.

“Bagaimanapun, beliau yakin UMNO Bahagian Maran sudah bersedia menerusi kempen yang diatur selepas hari penamaan calon,” katanya.

Semalam media melaporkan Ismail memilih untuk bertanding semula di Parlimen Maran atas tiket PN berikutan beliau digugurkan sebagai calon BN.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam satu majlis di Marang, Terengganu, malam tadi.

BN Pahang mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Maran pada PRU15.