Umno Pekan teruskan perjuangan Najib Razak

Kuantan 05 April 2023 (Fikrah Pahang) Umno Bahagian Pekan melahirkan rasa kecewa dan terkejut terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk menyemak semula keputusan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd pada 31 March 2023 lalu.

Ketuanya, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Dato’ Sri Najib Tun Razak terpaksa membayar harga yang tinggi dan dihukum serta menanggung akibat di atas ketidakadilan yang wujud didalam menentukan keputusan rayuan yang dilakukan oleh peguamnya sebelum ini.

“Kami sangat hargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah dicurahkan pemimpin itu selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi beliau dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada Umno Pekan.

Beliau berkata, Hakim Besar Sabah, Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel hakim mendengar semakan kes sabitan salah dan hukuman terhadap Dato’ Sri Najib Tun Razak berpendapat bekas Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mendapat pengadilan sewajarnya dalam prosiding terdahulu.

Datuk Abdul Rahman Sebli merupakan hakim tunggal menentang keputusan empat lagi panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ketika membacakan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, adalah sesuatu yang wajar supaya Najib dibebaskan dan dilepaskan kerana bekas Perdana Menteri itu tidak diberikan perbicaraan yang adil dan fakta yang tidak boleh dipertikai ialah Najib tidak pernah menukar peguam semasa bicara di peringkat Mahkamah Tinggi.

Dato’ Mohammad Fakhruddin yang baharu di pilih sebagai Ketua Umno Pekan sesi 2023-2026 berkata, ” Sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang akur dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Dato’ Sri Najib, namun Umno Pekan tidak akan berputus asa untuk terus memperjuangkan hak dan keadilan bagi bekas Ketua Umno Bahagian Pekan selama 41 tahun itu.

“Kita bersyukur kerana Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama pimpinan lain senantiasa memperjuangkan nasib Dato’ Sri Najib Razak.” ujarnya.

“Saya memohon semua pihak terutamanya ahli-ahli Umno bersabar dan bertenang serta teruskan berdoa semoga Allah SWT agar memberi kekuatan dan ketabahan kepada Dato’ Sri Najib dan keluarga untuk menghadapi dugaan yang besar ini”. katanya.

oleh KABHI ISMAIL