UMNO perlu ubah cara berkempen

UMNO perlu ubah cara berkempen

KUALA LUMPUR: Gabungan cara berkempen sedia ada dengan teknologi media sosial paling digemari anak muda dilihat mampu menjadi pemangkin untuk UMNO kembali mendapat tempat di hati pengundi.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim, berkata penggunaan saluran media baru terutama aplikasi TikTok yang digunakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) terbukti mampu meraih sokongan ramai terutama golongan muda yang diterjemahkan melalui keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Jika nak diikutkan, UMNO mempunyai kelebihan dan kekuatan jentera berbanding PN dan PH. Kita ada JR (Jalinan Rakyat) dan Gempur tetapi tewas dan BN (Barisan Nasional) hanya mampu memenangi 30 kerusi.

“Terbukti pendekatan menggunakan media sosial memainkan peranan penting menentukan pemenang dalam PRU. Maka kita (UMNO) perlu berubah dan menggunakan sepenuhnya saluran media sosial yang paling digemari anak muda,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan saluran media sosial secara meluas akan lebih berkesan seandainya digabungkan dengan cara berkempen secara tradisional menggunakan jentera sedia ada. – HELMY ABD RAHMAN