UMNO perlu ubah strategi dekati pengundi

UMNO perlu ubah strategi dekati pengundi

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengubah cara mendekati rakyat dengan tidak hanya menawarkan politik perkhidmatan, sebaliknya turut mengutamakan hal berkaitan isu semasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata langkah itu penting apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan ramai calon parti lawan yang tidak dikenali mampu memenangi kerusi ditandingi.

“Kita tengok parti lawan menampilkan calon yang orang tak kenal, hanya diperkenalkan pada hari penamaan calon sahaja tetapi menang dan banyak tempat begitu sedangkan calon UMNO berkhidmat selama lima tahun.

“Ini bermakna kita tak boleh lagi hanya guna pendekatan perkhidmatan sahaja, perlu gunakan isu semasa dan lebih aktif gunakan media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di lokasi sama, semalam.

Menurutnya, UMNO juga perlu berani berubah dengan menggunakan kaedah dan pendekatan baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Ini bukan lagi tahun 80-an dan 90-an dan saya sendiri melihat bagaimana arus perubahan sokongan berlaku. Sebagai contoh PAS dan PKR yang tampil dengan gagasan baharu yang berbeza dengan UMNO dan akhirnya mereka jadi pilihan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya menyarankan supaya UMNO menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi berdepan realiti politik baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menerusi pendekatan sebegitu, UMNO boleh melebarkan jaringan memandangkan realiti ketika ini, parti tidak boleh bersendirian.

“Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya ramai di luar sana bersedia untuk bersama dengan kita.

“Malah usul penubuhan Majlis Ulama UMNO yang pernah dibuat suatu ketika dahulu perlu disegerakan pelaksanaannya.

“Kita perlu menyegarkan parti dengan pemugaran idea serta pengkaderan yang efektif, sesuai dengan perubahan minda serta keutamaan rakyat. UMNO harus tampil sebagai sebuah parti yang bergerak dengan idea,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN