UMNO tak boleh berpeluk tubuh lihat kesilapan PN – Syed Ibrahim

UMNO tak boleh berpeluk tubuh lihat kesilapan PN – Syed Ibrahim

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: UMNO tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyaksikan kesilapan demi kesilapan dilakukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, justeru, keputusan diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan kepada PN dan Muhyiddin adalah tepat dan seiring dengan dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.   

“Banyak kesilapan oleh PN yang sukar diterima oleh ramai pihak, takkan pula kita (UMNO) nak berpeluk tubuh sahaja. Malah ahli-ahli parti di PAU (Perhimpunan Agung UMNO) baru-baru ini seolah-olah sudah nampak perkara ini akan berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri,  Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dalam wawancara  online  Diskusi Fikrah  “Kesetiaan Kepada Titah Tuanku” secara langsung bersama Moderator, Kamal Arifin Ismail

“Hari ini (semalam) kita ucap tahniah kepada pimpinan parti yang bermesyuarat dan mengambil tindakan tegas menarik balik sokongan kepada PN… bukan kerana nak meruntuhkan kerajaan, tetapi kalau dah ada kesilapan yang boleh membabitkan kesucian agama, mencalarkan institusi diraja, maka atas dasar ini, satu teguran yang amat baik dengan melepaskan sokongan UMNO supaya mereka (PN) sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Diskusi Fikrah di laman Facebook rasmi Fikrah Pahang, malam tadi.

Menurutnya, PN seharusnya menjunjung kasih dan mengambil peluang ‘membersihkan’ diri mereka apabila  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ra’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.

“Sebaliknya mereka cuba berdolak-dalik dan bila bersidang, mereka buat kenyataan bercanggah dengan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

“PN bukan sahaja mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, malah seolah-olah mempersendakan Baginda yang sudah beberapa kali menitahkan supaya semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Dia (PN) dah tersilap satu langkah, dia buat lagi langkah kedua menyanggah institusi diraja. Kesilapan kedua ini menyebabkan sukar bagi rakyat menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, semua ahli UMNO Pahang di setiap peringkat bersyukur apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengisyaratkan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Malah sokongan ini lebih awal berbanding peringkat pusat. Kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang mengenai isu ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada kepimpinan UMNO Pahang seluruhnya termasuk di bahagian-bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ini bukti bahawa ketaatan kepada raja adalah sesuatu yang tidak ada kompromi dan kedaulatan undang-undang perlu diutamakan serta tidak wajar berlaku sebarang pendustaan dan penodaan dalam institusi Parlimen yang menjadi teras utama kemakmuran negara,” katanya.