KUANTAN: Gandingan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli tidak semestinya berupaya menggugat kedudukan UMNO dan Barisan Nasional dalam menghadapi suasana politik negara, terutama berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Malah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin menganggap gandingan Anwar dan Rafizi itu sekadar pilihan ahli parti itu.
Mohd Sharkar berkata, keputusan dibuat ahli PKR memilih Rafizi sebagai Timbalan Presiden adalah hak mereka dan tidak perlu digeruni.
‘Pada saya, sama ada Rafizi atau Datuk Seri Saifuddin Nasution yang berganding bahu di peringkat kepimpinan atasan parti itu adalah perkara biasa. Kita hormatilah.
“Bahkan, gandingan Anwar-Rafizi bukanlah cabaran baru untuk kita (UMNO) dan semua kita kenal dah Rafizi ini siapa,” katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran Tourism Malaysia Pahang di Kuantan, hari ini.
Mohd Sharkar yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, mengakui UMNO sentiasa berwaspada dengan strategi dan cara yang sering digunakan Rafizi.
“Apapun strategi mereka, mungkin ada kelebihannya. Bagaimanapun, kita juga ada kelebihan dalam strategi kita,” katanya.
Mohd Sharkar berkata, bukti kelebihan strategi UMNO ialah apabila bangkit mengetuai semula kerajaan selepas hilang kuasa pada PRU-14 berbanding mereka yang mempunyai kuasa tetapi tidak bertahan lama.
“Demikian juga dengan bukti kita menang di peringkat PRN (pilihan raya negeri) Melaka dan PRN Johor yang menyaksikan parti itu hilang kuasa. UMNO mungkin kelihatan bergolak tapi (sebenarnya) kita tidur sebantal mimpi pun sama,” katanya. – HUSSIN IBRAHIM