UMNO tarik balik sokongan kepada PN, Muhyiddin

UMNO tarik balik sokongan kepada PN, Muhyiddin

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Katanya, kenyataan terbaharu Perdana Menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan Baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden UMNO, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan surat penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasioanal (PN) di sidang media sebentar tadi.

“UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat.

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada baginda, MKT sebulat suara bersepakat menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Dato’ Sri Najib Tun Razak; Timbalan Presiden UMNO Dato’ Sri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah; Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Sri Ahmad Maslan dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Menurut Ahmad Zahid, Muhyiddin harus mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.