TEMERLOH: UMNO Bahagian Temerloh meneruskan tradisi membantu rakyat yang mengalami masalah kesihatan dengan menyediakan bantuan peralatan yang diperlukan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, mereka yang memerlukan bantuan seperti katil dan kerusi roda akan segera diberikan sebaik sahaja pihaknya menerima permohonan.
Menurutnya, mereka yang mengalami masalah kesihatan perlu segera dibantu tanpa mengira fahaman politik.
“Sudah menjadi tanggungjawab UMNO Bahagian Temerloh untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik.
“Bantuan barang keperluan asas juga turut diberikan kepada golongan memerlukan secara berterusan dan bukan bermusim,” katanya yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya dari semasa ke semasa mengadakan program jelajah ke pelusuk kampung dan taman perumahan di daerah ini bagi mendekati rakyat. – MOHD IMRAN IZZAD