KUANTAN: “Saya tabik kepada kerajaan BN (Barisan Nasional) Pahang dan UMNO sebab mari (datang) bantu sokmo (kerap) golongan nelayan walaupun ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Beserah ini bukan orang mereka,” kata Tajuddin Yunus, 57, dari Beserah di sini.
Dia yang menjadi nelayan sejak 1986 berkata, UMNO dan BN juga disifatkannya ikhlas menyalurkan bantuan kerana ia disampaikan tidak kira masa, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Dato’ Mus (Penyelaras DUN Beserah, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid) selalu ada untuk bantu nelayan dan penduduk di sini sejak lepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lagi.
“Maaflah nak cakap, tapi jauh lebih kerap bantu berbanding orang sepatutnya,” katanya kepada Fikrah Pahang di Kampung Beserah di sini, hari ini.
Tajuddin turut memuji kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan BN yang banyak memberi bantuan kepada golongan nelayan.
“Dulu suka (gembira) dulu masa bawah Dato’ Najib (Dato’ Sri Najib Razak) sebab bantuan dan insentif ada sokmo, tapi kerajaan BN Pahang pun prihatin beri pelbagai bantuan kepada kami,” katanya.
Zakaria Ramli, 55, turut mengiyakan kata-kata Tajuddin mengenai Kerajaan Pahang yang tidak mengabaikan golongan nelayan dalam soal kebajikan.
“Bulan tujuh hari tu ada MB (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) beri bantuan kepada nelayan tanpa mengira kami orang (parti) mana,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN