UMP akan tubuh Kor Siswa Bomba 

UMP akan tubuh Kor Siswa Bomba 

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menubuhkan pasukan Kor Siswa Bomba UMP.

Pasukan berkenaan bertujuan melahirkan mahasiswa bersahsiah, berdisiplin, jati diri tinggi dan berpengetahuan dalam bidang kebombaan serta keselamatan kebakaran.

Pengarah Kanan Akademi ADAB UMP, Mejar Imaduddin Abidin berkata, Kor siswa Bomba akan menambahkan lagi aktiviti kokurikulum seterusnya dapat membangunkan personaliti diri dan kemahiran insaniah bagi melahirkan individu yang berketerampilan holistik.

“Saya berharap Kor Siswa Bomba UMP mendapat sambutan menggalakan daripada mahasiswa pelbagai kaum,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan JBPM Pahang, di sini, pada 5 Julai lalu, yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang, Dato’ Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa.

Imaduddin menambah, mahasiswa yang menganggotai Kor Siswa Bomba akan mengikuti latihan dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti menghadapi kebakaran, menyelamat dan memberi pertolongan cemas. – MOHD IMRAN IZZAD