Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan komik bahasa Inggeris bertajuk ‘Survival Statics’ yang diselitkankan elemen jenaka sebagai panduan mudah untuk penuntut kejuruteraan.
Komik berwarna penuh itu dihasilkan berasaskan idea idea Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Automotif dan Mekanikal UMP, Dr Luqman Hakim Ahmad Shah bersama 11 individu lain.
Dr Luqman, berkata ‘Survival Statics’ adalah komik berteraskan subjek ilmiah yang disulam dengan penceritaan menarik untuk dibaca sekaligus dapat memberi kefahaman mudah kepada penuntut kejuruteraan.
Katanya, selain pendidikan di dalam komik berkenaan turut diselitkan dengan jenaka, elemen persahabatan, semangat tolong-menolong dan persefahaman yang perlu ada apabila berkawan.
“Idea menghasilkan komik ‘Survival Statics’ tercetus apabila saya melihat tidak ada komik pendidikan yang khusus dalam bidang kejuruteraan di peringkat kolej, institut latihan dan universiti di Malaysia.
“Oleh itu, pengalaman empat tahun belajar di Jepun dijadikan panduan untuk saya menghasilkan komik ‘Survival Statics’ yang diharap dapat digunakan oleh penuntut dalam bidang kejuruteraan,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, belajar menggunakan komik bukan sahaja lebih mudah tetapi menyeronokkan dengan paparan cerita ringkas, padat dan watak kartun yang menarik.
“Percubaan pertama saya ini diharap mendapat sambutan daripada penuntut kolej, institut latihan dan universiti. Usaha promosi kini sedang giat dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penerbitan UMP,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, berkata pihaknya kini berusaha mempromosikan komik ‘Survival Statics’ bagi memberi peluang lebih ramai penuntut bidang kejuruteraan di negara ini memiliki komik berkenaan yang dianggap menarik dan berpendidikan.
“Komik 75 muka surat ini berharga RM30. Terdapat nota penerangan tambahan dan kod QR untuk diimbas yang memberi peluang menonton video penerangan lanjut agar lebih mudah difahami,” katanya.