KUANTAN: Jalinan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU) bakal memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan.
Kerjasama itu bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan membabitkan kedua-dua institusi pendidikan tinggi Malaysia-Turki.
Kerjasama itu juga memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran.
Ia juga membabitkan kempen kesedaran berkaitan literasi media dan informasi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) bersama komuniti di Ankara untuk dimanfaatkan semua pihak.
Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, berkata pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan kerjasama itu juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pertukaran staf dan pelajar.
Katanya, program turut membabitkan kerjasama dual ijazah dan membabitkan program mempromosikan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dalam usaha ke arah kegemilangan universiti, UMP turut memfokuskan kecemerlangan terhadap pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Semalam, Dr Yuserrie bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Rektor AMU, Prof Ahmet Zeki Sengil yang disaksikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada majlis yang berlangsung di Ankara.
Hadir sama, Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Prof Madya Dr Nurul Hazlina Noordin dan Timbalan Rektor AMU, Prof Dr Nevin Sanlier.
Selain itu, Dr Yuserrie berkata, kerjasama melibatkan komuniti itu seiring dengan hasrat KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Pro Canselor UMP selaku Penaung Diraja Sukarelawan UMP dalam menyuburkan agenda kesukarelawanan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“UMP turut memfokuskan aspirasi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan malah berdaya saing dan sentiasa ke hadapan bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN