UMP lancar aplikasi ADAB

UMP lancar aplikasi ADAB

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Muhammad Izz Zahin

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan aplikasi ADAB UMP untuk memudahkan penuntutnya mendapatkan pelbagai maklumat dan informasi terkini sepanjang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

Aplikasi itu membuka akses kepada pelajar mendapatkan maklumat mengenai akademik, kebajikan penuntut, informasi terkini, kewangan penuntut dan kemudahan yang terdapat di dalam UMP.

KUANTAN. Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Aisyah Zawai dari Fakulti Komputeran bersama rakan menunjukkan aplikasi ADAB UMP yang dilengkapi informasi pengajian dan rujukan pelajar.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, aplikasi itu turut menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian antaranya zakat dan e-aduan.

Menurutnya, aplikasi itu juga menghubungkan penuntut dengan portal rasmi jabatan di UMP, agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan bank serta pembayaran secara dalam talian swasta.

“Situasi pandemik yang tidak menentu ketika ini menuntut satu tindak balas yang perlu diambil secara holistik dan pantas. Aplikasi ini dihasilkan untuk memastikan perkhidmatan akademik, pembangunan pelajar dan pentadbiran universiti berada pada tahap  terbaik.

“Walaupun kehadiran fizikal penuntut ke kampus tidak dapat dilakukan pada waktu sekarang, UMP tidak pernah berhenti dalam melakukan penambah baikan dalam memberikan perkhidmatan secara dalam talian khususnya untuk penuntut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aplikasi ADAB UMP bersempena perasmian Hari Suai Kenal bagi penunutut baharu program diploma, asasi dan pra-diploma bagi 2021 menerusi dalam talian yang disiarkan di Facebook UMPMalaysia.

Sehubungan itu, Dr Wan Azhar mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dalam menjayakan usaha membangunkan aplikasi itu.

“Ia akan sentiasa ditambah baik dengan fungsi terkini, bersesuaian dengan keperluan semasa pengguna dan seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

“Saya menasihati penuntut supaya dapat memanfaatkan penggunaan aplikasi ini sebagai wadah maklumat yang boleh menghubungkan antara mereka dan UMP,” katanya.