UMP pergiat kolaborasi industri teroka teknologi berimpak tinggi

UMP pergiat kolaborasi industri teroka teknologi berimpak tinggi

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan penjajaran semula membabitkan  pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan dari segi peningkatan keupayaan serta kapasiti penyelidikan lebih dinamik selain proaktif.

Pelaksanaan itu melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran baharu berimpak tinggi dengan objektif khusus untuk menghasilkan idea baharu.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, berkata fokus juga membabitkan isu strategik semasa negara, mendepani cabaran dan mengadaptasi Transformasi Digital menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Usaha ini menyaksikan transformasi agenda penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan UMP diperkukuh dan diperkasakan seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021–2025.

“Pelan itu dilaksanakan menerusi Objektif Strategik 2 iaitu Inovasi dengan Kolaborasi Industri dan Objektif Strategik 3 Penerokaan Teknologi Berimpak Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Yuserrie berkata, UMP juga menyediakan latihan kepada industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi dimiliki oleh UMP.

Katanya, selain daripada latihan teknikal, kerjasama dengan industri juga akan dibina bagi meningkatkan keupayaan teknikal industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh ahli akademik UMP.

“Kini UMP berjaya mencapai sasaran dengan meningkatkan bilangan latihan teknikal bersama industri dan juga kendalian industri berbanding tahun sebelumnya.

“Begitu juga aspek kerjasama naik taraf keupayaan teknikal industri,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN