KUANTAN: Sesi libat urus di antara Universiti Malaysia Pahang (UMP), media dan agensi kerajaan di Pahang bakal membuka peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT) itu menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Naib Canselor UMP, Pro Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, berkata UMP mempunyai pelbagai bidang kepakaran terutama dalam kejuruteraan dan teknologi yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat di Pahang.
“Sesi ini libat urus ini juga sebagai tanda terima kasih kepada media atas liputan yang diberikan UMP sepanjang 20 tahun usia universiti ini.
“Sungguhpun sibuk dengan komitmen masing-masing, universiti sangat menghargai kehadiran warga media dan pegawai agensi berkaitan untuk berkongsi perkembangan universiti dan menikmati juadah berbuka puasa,” katanya.
Dr Yuserrie berkata demikian pada majlis yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, kelmarin, yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Hussin.
Antara warga media dan agensi kerajaan hadir ke majlis itru adalah daripada Fikrah Pahang, Bernama, Berita Harian, China Press, Astro, Utusan, Kosmo dan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di samping Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) serta Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Sementara itu, Nik Naizi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan UMP yang turut menyumbang keperluan bantuan Yayasan UMP untuk meringankan beban warga media yang memerlukan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN