KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) membuktikan kehebatan apabila meraih Anugerah Khas pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2022 (ITEX) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), kelmarin.
Pada program dua hari itu, UMP memenangi 14 pingat emas dan 10 perak menerusi 24 produk yang dipertandingkan.
Produk ‘Smart-Steadi for Efficiënt Agarwood Essential Oil Extraction’ yang dihasilkan oleh Prof Madya Dr Saiful Anwar Che Ghani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) menerima Anugerah Khas Best Invention Universities & Educational Institutions dan pingat emas.
Saiful berkata, inovasi Smart-Steadi digunakan untuk meningkatkan hasil pengekstrakan minyak gaharu dan dalam masa sama mengurangkan kos pengeluaran.
“Idea inovasi itu tercetus apabila saya terbabit sama dalam beberapa kajian membina fasiliti pemprosesan gaharu berskala industri bersama pengusaha gaharu tempatan dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin bangga dengan kejayaan itu dan merakamkan penghargaan buat semua penyelidik atas pencapaian itu. – MOHD IMRAN IZZAD