KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkul 19 pingat emas, sembilan perak dan dua gangsa pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2021 Golden Awards yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.
Anugerah disampaikan Presiden Persatuan Rekabentuk dan Rekacipta Malaysia (MINDS), Tan Sri Augustine SH Ong kepada Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP sempena Malam Budaya Cipta 2021.
Pingat emas diraih penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Norhaiza Ghazali dengan tajuk ‘Eco-Coal Crete: Waste-Less Earth, Lively Life’, penyelidik dari Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Prof Madya Dr Devarajan Ramasamy dengan kajian ‘Bio-Hybrid Engine Coolant’,
Penyelidik Pusat Sains Kemanusiaan (PSM), Prof Madya Dr Hasan Ahmad dengan tajuk G-Gel (Halal Gelatin Alternative from Gallus Gallus Domesticus Produced by Lactic Acid Treatment Metho) dan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr Suriyati Salleh dengan tajuk ‘Go Green with Co-Torrefied Oil Palm (Co-Top) Pellet’.
Penyelidik Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMP, Dr Diyana Kamarudin dianugerahkan pingat emas bagi kajian ‘Hear Me: Assistive Technology for The Deaf and Hearing Impaired’.
Beliau menghasilkan aplikasi Hear Me iaitu alat bantu mengajar buat guru dan pelajar yang mengalami masalah pendengaran untuk mempelajari Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT).
Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, KKEJ, Ts Dr Mohd Azrul Hisham Mohd Adib pula menang pingat emas bagi kajian bertajuk ‘Physio-Walker (Phywalk) for Cerebral Palsy Kids’.
Ciptaan itu membantu kanak-kanak yang menghadapi gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang atau lebih dikenali sebagai Palsi Serebrum (Cerebral Palsy).
Sementara itu, penyelidik, Dr Ahmad Irfan Akmal Hisham dari PSM turut menang pingat emas hasil penyelidikan bertajuk ‘I-Mawaqit: Comparative Prayer Time Zone Calculator’ dengan mencipta I-Mawaqit iaitu kalkulator waktu solat pancatitik.
Turut sama dianugerahkan pingat emas adalah Prof Madya Dr Ramadhansyah Putrajaya, Dr Syifak Izhar Hisham, Dr Rajaletchumy Veloo Kutty, Dr Mohd Suhardi Mat Jusoh, Prof Madya Dr Aishah Abu Bakar, Dr Noor Suraya Romali, Prof Madya Dr Kumaran Kadirgama, Prof Madya Dr Md Maksudur Rahman Khan, Prof Madya Dr Mohd Hafizi Zohari, Prof Madya Dr Abdulrahman Ahmed Alsewari dan Dr Norida Ridzuan.
Dalam pada itu, Dr Yuserrie berkata, dalam era pandemik penganjuran ITEX kini beralih ke model hibrid pameran secara talian dan fizikal.
“Namun situasi ini bukan halangan buat penyelidik mempamerkan hasil kajian mereka. Saya ingin merakamkan penghargaan tahniah buat penyelidik UMP dan teruslah menghasilkan kajian yang berimpak.
“Selain memastikan penyelidikan yang berkualiti, UMP memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi yang dapat memberi manfaat masyarakat dan komuniti dunia,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN