UMP, THU jalin kerjasama dalam program kelestarian kampus

UMP, THU jalin kerjasama dalam program kelestarian kampus

KUANTAN: Jalinan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Ulm University of Applied Sciences (THU), Jerman bakal mengembangkan model kelestarian kampus berpaksikan pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Kolaborasi itu membabitkan pertukaran maklumat dan pengetahuan, akademik, penyelidikan serta perkongsian amalan terbaik terutama dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi berdasarkan pendekatan Ulmer Modell yang dilaksanakan di THU.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan THU berlangsung di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman, baru-baru ini.

UMP diwakili Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin serta Dekan Jabatan Matematik dan Sains Ekonomi, Prof Dr Marc-Oliver Otto (THU).

Hadir sama, Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP, Prof Dr Abdullah Ibrahim dan Ketua Jaringan Antarabangsa Tenaga Kompeten (IECN), THU, Prof Dr Walter Georg Commerell.

Dr Yuserrie berkata, hasil kerjasama UMP dengan universiti di Jerman sejak 12 tahun lalu menghasilkan program kerjasama dual ijazah UMP bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dalam kejuruteraan mekatronik, automotif dan elektrikal.

“Program kejuruteraan perniagaan pula akan bersama dengan rakan baharu dari Mannheim University of Applied Sciences (HsMA).

“Kerjasama universiti dengan negara Eropah ini bermula menerusi rundingan UMP dengan German Academic Exchange Service (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa sekitar 2010 dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN