PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menetapkan enam objektif dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) bagi mencapai sasaran universiti kebolehan teknikal negara.
Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, berkata keunggulan pendidikan teknikal, vokasional dan latihan (TVET) aras tinggi, kerjasama dengan industri serta penerokaan teknologi berimpak tinggi menjadi teras UMP25.
Katanya, turut diberi perhatian adalah kelestarian kewangan, kecemerlangan ekosistem universiti dan pengantarabangsaan serta keusahawanan graduan.
Menurutnya, pembentukan Pelan Strategik UMP25 ini adalah sejajar dengan fasa terakhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
“Ranking UMP bagi 2022 kini naik ke tangga ke-129 berbanding 133 tahun lalu,” katanya dalam Program Jelajah Kampus Hijau UMP Bersama Media 2021, di sini, semalam.
Dr Yuserrie berkata, 12 pensyarah UMP kini turut diiktiraf dan tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin.
Menurutnya, kejayaan itu diraih hasil sokongan rakan media dalam memberi liputan dan hebahan ke atas semua program UMP.