UMPSA Raikan Media Berbuka Puasa

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kira-kira 100 pengamal media dan rakan kolaborasi di Majlis Iftar UMPSA ‘Indahnya Ramadan Al-Mubarak’
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dalam ucapannya berkata, hubungan silaturahim yang telah terjalin sejak 22 tahun lalu dapat diteruskan lagi khususnya dalam menyalurkan berita dan maklumat demi kepentingan masyarakat, khususnya dalam meningkatkan tahap pendidikan tinggi rakyat di negara ini.

“Sungguhpun sibuk dengan komitmen masing-masing, UMPSA sangat menghargai kehadiran warga media dan rakan kolaborasi lain untuk berkongsi perkembangan universiti dan menikmati juadah berbuka puasa”.

Pada majlis itu juga , Professor Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin turut menyampaikan sumbangan Tabung Komuniti Yayasan UMPSA kepada petugas media yang sedang mengalami masalah kesihatan dan yang memerlukan bantuan.

Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media ini merupakan acara tahunan Pusat Komunikasi Korporat, UMPSA bertujuan menyantuni dan menghargai petugas media yang sentiasa memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutamanya dalam menyebarluas kejayaan universiti kepada masyarakat.

Oleh: Kabhi Ismail