Umur 18 dah boleh jadi YB kat Pahang

Umur 18 dah boleh jadi YB kat Pahang

KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang untuk membenarkan mereka yang berusia 18 tahun untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya.

Cadangan pindaan had umur terhadap Perkara 19 (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2021 Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang itu dikemukakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dengan dengan disokong Ahli Dun (Adun) Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Dewan sebulat suara meluluskan pindaan itu pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Susulan pindaan itu, Pahang kini menyertai beberapa negeri lain yang meluluskan undang-undang membenarkan rakyat berusia 18 tahun untuk mengundi.  

Ia juga selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. – HELMY ABD RAHMAN