JERANTUT: Golongan pengundi harus mempunyai rasa tanggung jawab untuk menjaga ‘tiang seri’ Melayu dan Islam yang dibina UMNO sejak lebih 60 tahun lalu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata tiang seri dimaksudkan itu antaranya membabitkan institusi kewangan serta pentadbiran, perundangan selain pendidikan.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO sudah menyediakan banyak tiang seri untuk meningkatkan tahap ekonomi dan pendidikan orang Melayu Islam di negara ini tetapi dalam masa hanya 22 bulan, banyak institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu dikacau.
“Apa dia tiang seri ini… ia adalah institusi yang lebih 60 tahun kita (UMNO) bina antaranya Tabung Haji yang dikucar-kacirkan sehingga banyak aset dijual dengan harga murah selain menghalang pembinaan masjid yang sudah mendapat kelulusan untuk dibina pada zaman pemerintahan BN dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian padi sesi Ceramah Perdana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Tun Teja di sini, malam tadi.
Hadir sama, calon PRU15 BN bagi DUN Damak, Muhammad Fasal Jamlus dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jerantut, Dato’ Rozilan Salleh. – HELMY ABD RAHMAN