KIANTAN: Semangat gotong-royong jelas dapat dilihat pada program korban perdana di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini, hari ini yang membabitkan 14 ekor kerbau dan lembu.
Kakitangan disemua peringkat termasuk Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin serta pelajar turun padang menjalankan aktiviti berkenaan.
Pengarah program, Mohd Shupian Majid berkata, program korban perdana kali ini diadakan dua hari, semalam dan hari ini. Sebanyak enam ekor kerbau dan lapan ekor lembu disembelih.
Menurutnya, program terbesar pernah diadakan ini memberi peluang kepada jawatankuasa mengagihkan daging korban kepada lebih 500 golongan miskin dan penduduk setempat
“Sebelum ini program korban dibantu sepenuhnya oleh pelajar namun kali ini pelajar sedang bercuti, hanya terdapat beberapa pelajar Sarawak sahaja yang tidak pulang ke kampung.
“Pelajar yang menyertai program korban dapat belajar menguruskan program termasuk pembahagian daging kepada mereka yang layak,” katanya di sini hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD