UnIPSAS mampu jadi benteng umat Islam, titah Agong

UnIPSAS mampu jadi benteng umat Islam, titah Agong

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, yakin Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mampu menjadi benteng untuk menjaga akhlak dan moral umat Islam di Pahang dan negara ini.

Baginda bertitah, ia dapat dilihat menerusi pelbagai langkah diambil universiti pertama milik penuh Kerajaan Pahang itu untuk memartabatkan Islam, antaranya melalui penubuhan Akademi Hadis UnIPSAS dan Institut Penulisan Jawi UnIPSAS.

“Bagi mencapai hasrat itu, beta bersyukur apabila Akademi Hadis ditubuhkan pada 21 Jun 2019 yang diharapkan dapat membudayakan pengajian hadis secara sistematik dalam kalangan masyarakat Pahang dan negara ini.

“Penubuhan Institut Jawi pada Februari 2020 pula menjadi pemangkin pemerkasaan tulisan jawi di Pahang dan sejak ditubuhkan, ia menjadi pusat rujukan semua pihak khususnya dalam menyemak ketepatan ejaan dan penggunaan tulisan jawi.  

“Dalam konteks tulisan jawi juga, kita perlu membudayakan kepada semua bangsa di dalam dan luar negara. Jadikan tulisan jawi satu anugerah Allah untuk kita merapatkan jurang perbezaan antara budaya di negeri ini dan Malaysia,” titahnya.

Baginda bertitah demikian dalam titah pemasyhuran UnIPSAS di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Majlis pemasyhuran itu turut menyaksikan pelantikan Tengku Hassanal Ibrahim sebagai Canselor UnIPSAS oleh Kerajaan Pahang. Turut dilantik, Wan Rosdy sebagai Pro-Canselor I dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Pro-Canselor II.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, bagi memperkukuh dan memperkasakan UnIPSAS untuk sebaris dengan universiti lain di negara ini, Kerajaan Pahang sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan dari semasa ke semasa.

“Pada tahun ini sahaja misalnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12.29 juta, antaranya untuk geran tahunan dasar sedia ada sebanyak RM6.621 juta dan geran ‘one-off’ (RM1.59 juta),” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN