BANGKIT di penghujung permainan menjadi kelebihan buat Unit Pemuliharaan dan Perlindungan Hutan menewaskan Unit Penilaian Sumber Hutan, 30-27, untuk muncul juara Kejohanan Bola Tampar Tertutup Pejabat Silvikultur Timur di Dewan Pejabat Silvikultur Timur Bukit Sekilau, di Kuantan.
Tempat ketiga milik Unit Pentadbiran dan Jurutera Pembangunan Hutan Bukit Sekilau pada kejohanan yang menyaksikan saingan daripada 10 pasukan.
Ketua pasukan Unit Pemuliharaan dan Perlindungan Hutan, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, semangat berpasukan dan tidak mengenal erti putus asa menjadi senjata kejayaan kali pertama itu.
Menurutnya, ketinggalan jauh di awal permainan tidak mematahkan semangat pemain untuk bangkit memburu mata demi mata seterusnya berjaya mencatat kejayaan diharapkan.
“Sebagai ketua pasukan saya berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian yang tidak diduga kali ini. Episod bangkit di penghujung permainan menjadi detik yang begitu drastik sekali.
“Lawan bagaikan hilang punca terpaksa akur apabila tewas tipis tanpa disangka,” katanya.
Kejohanan berkenaan diadakan bagi meningkatkan semangat kekitaan dan amalan hidup sihat di kalangan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).