ROMPIN: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM25 juta untuk melaksanakan tiga projek pembinaan baharu dan menaik taraf infrastruktur di Tioman.
Projek diluluskan itu membabitkan cadangan menaik taraf Jeti Kargo di Kampung Tekek, Pulau Tioman, yang bernilai kira-kira RM7 juta.
Selain itu, peruntukkan turut membabitkan cadangan membina masjid baharu di FELDA Selendang 2, Kuala Rompin, dengan nilai kira-kira RM3 juta dan membina stadium mini baharu di Kampung Kolam, Kuala Rompin, bernilai kira-kira RM15 juta.
YAB Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesemua projek itu diluluskan bagi memberi manfaat kepada orang ramai khususnya penduduk di sekitar Tioman.
“InsyaAllah jika diminta itu, maka bereslah, saya akan tunaikan sepenuhnya. Takkanlah saya tak setuju dengan (permintaan) MB (YAB Menteri Besar Pahang).
“Anggaplah Kompleks Sukan yang diminta sebagai satu komitmen kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat untuk menyelami hati anak-anak muda di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat YAB Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kuala Rompin, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya pula berkata, ketiga-tiga projek itu adalah mustahak dan diperlukan oleh masyarakat di kawasan berkenaan.
“Memandangkan Jeti Kargo (di Kampung Tekek) sedia ada tidak sesuai dan tidak boleh digunakan sepenuhnya, menaik taraf adalah sangat diperlukan.
“Ia akan memberi kemudahan kepada penduduk dan pemborong dalam menjalankan aktiviti harian. Ini sudah pasti berupaya untuk dalam merancakkan perkembangan ekonomi penduduk tempatan.
“Masjid baharu pula adalah bagi menambah keselesaan kepada penduduk setempat dan cadangan membina stadium mini akan mampu memperhebat penganjuran aktiviti sukan di kawasan ini,” katanya. – KHALEEF FITRI