Untunglah aokmer dapat geran hakmilik tanah

Untunglah aokmer dapat geran hakmilik tanah

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh

TEMERLOH: Seramai 332 peserta di dua Rancangan Tanah Kelompok di kawasan Dewan Undangan Negeri Mentakab, dekat sini pasti tersenyum lebar apabila menerima suratan hakmilik masing-masing, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, di Dewan UMNO Temerloh, di sini, semalam.

Mereka terdiri daripada masyarakat Melayu seramai 301 orang, India (25) dan Cina (enam) yang mendiami RTK Bukit Kuin serta Mambang Berulang. 

Wan Rosdy berkata, suratan hakmilik itu adalah bagi kegunaan tapak rumah di RTK Bukit Kuin dan pertanian dusun di RTK Mambang Berulang.

“Hari ini (semalam), saya ke Temerloh bagi menyampaikan suratan hakmilik tanah untuk dua RTK di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Mentakab.

“RTK ini melibatkan Bukit Kuin dan Mambang Berulang dengan 332 peserta (301 Melayu, 25 India dan enam Cina). Kegunaan tanah untuk RTK Bukit Kuin ialah tapak rumah, manakala RTK Mambang Berulang ialah pertanian dusun,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, semalam.

Hadir sama, Ahli DUN Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; ADUN Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; ADUN Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin dan ADUN Jenderak, Dato’ Sri Mohamed Jaafar.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, terdapat dua lagi RTK dalam proses untuk diserahkan suratan hakmilik tanah kepada peserta iaitu RTK Warisan Kemunting dan RTK Kampung Sementah Pandau di bawah DUN Lanchang.

“Semoga usaha ini dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan menjaga kemakmuran penduduk setempat, Insya-Allah,” katanya.