Untunglah orang kerja kerajaan negeri

KUANTAN: Sebagai penghargaan kepada kakitangan awam, Kerajaan Pahang bersetuju memberikan insentif sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri bagi semua gred.

Berita baik itu diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

“Bercakap mengenai kecekapan pentadbiran kerajaan menguruskan sumber negeri, kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa dan komitmen penjawat awam negeri ini dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai. 

“Untuk itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Pahang bagi semua gred.

“Bayaran ini akan dikreditkan pada minggu ketiga Januari 2022 dan membabitkan sebanyak 8,000 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM9.6 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pakej Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 dan RM40 juta untuk membantu usaha ke arah endemik Covid-19. 

“Setakat ini, kerajaan negeri sudah membelanjakan lebih RM75 juta bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan Covid-19.

“Untuk tahun depan, kerajaan negeri meneruskan peruntukan sebanyak RM30 juta ringgit bagi pakej BPP 2022 dan RM40 juta untuk membantu usaha ke arah endemik Covid-19 termasuk operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan operasi sekatan jalan raya (SJR),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN