Untungnya orang Maran

Untungnya orang Maran

MARAN: Penduduk dalam kawasan Parlimen Maran bakal menikmati kemudahan perlindungan insurans yang akan memberikan manfaat, terutama apabila berlaku kemusnahan harta ketika banjir. 

Ahli Parlimen Maran, Dato; Sri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, penduduk terjejas boleh menerima pampasan asas di antara RM1,000 dan RM10,000 bergantung kepada penilaian jumlah kerugian yang ditanggung.

Dr Ismail yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, usaha itu membabitkan rumah yang belum memiliki perlindungan insurans seperti di kampung dan kawasan penempatan di pedalaman.

“Rumah dalam bandar contohnya sudah mempunyai perlindungan insurans seperti dalam perjanjian jual beli (S&P),” katanya pada majlis Taklimat Kesedaran Permohonan Secara Dalam Talian RMR (Rumah Mesra Rakyat) Parlimen Maran, di sini, semalam. 

Turut hadir Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali dan Pengarah SPNB Pahang, Dato’ Ahmad Islanizam A Halim.

Dr Ismail berkata, usaha untuk menyediakan perlindungan insurans hanya untuk penduduk adalah inisiatif Pejabat Parlimen Maran.

“Ia adalah insurans berkelompok dengan bayaran premium untuk perlindungan itu akan dibiayai oleh Parlimen Maran,” katanya. – HUSIN IBRAHIM