KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membawa impak positif terhadap sosioekonomi penduduk tempatan di kawasan Parlimen Paya Besar, di sini, dalam jangka masa panjang.
Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata ini kerana perhubungan rangkaian ECRL yang lancar berpotensi memacu aktiviti komersial, menarik kehadiran pelancong dan menambah peluang pekerjaan di Paya Besar.
Katanya, penduduk di Paya Besar percaya dengan adanya stesen ECRL Paya Besar akan memberikan kemudahan pengangkutan penumpang dan barang dari Paya Besar ke Lembah Klang atau ke destinasi utama di sepanjang rangkaian keretapi ECRL.
“Lokasi stesen ECRL Paya Besar pula ditetapkan bersebelahan dengan PR1MA Residensi Gambang 3 dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata demikian pada Program ‘Mesra ECRL Pahang’ bagi stesen ECRL Paya Besar di Dewan Astaka UMP.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.
MRL menyampaikan sumbangan kit keselamatan sebagai usaha untuk mencegah penularan wabak COVID-19 di kalangan pelajar sekolah.
Ia merangkumi barangan seperti pensanitasi tangan dan kit ujian kendiri COVID-19 yang diserahkan kepada 150 pelajar daripada golongan B40 di kalangan komuniti berhampiran stesen ECRL Paya Besar.
MRL turut menyumbang barangan keperluan persekolahan seperti beg sekolah, set alat tulis, botol minuman dan buku nota.
MRL dalam kenyataan memaklumkan program `Mesra ECRL’ bertujuan untuk mendekati komuniti setempat yang berada dalam jarak radius lima kilometer dari lokasi stesen jajaran projek ECRL di Pahang selepas dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN