Usah abai kesihatan anak 

Usah abai kesihatan anak 

KUANTAN: Program saringan awal kesihatan di kalangan kanak-kanak Kampung Permatang Badak, di sini, penting dilakukan dalam usaha menjamin tahap kesihatan mereka di peringkat awal.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, untuk itu kerjasama ibu bapa penting untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan yang disediakan.

Menurutnya, Program Saringan Awal Kesihatan Kanak-Kanak @KAHS 2022 yang disediakan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini, adalah usaha kali pertama dilakukan dengan kerjasama Pejabat Ahli Perlimen Paya Besar.

“Saya berpuas hati apabila seramai 600 kanak-kanak berpeluang menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma, membabitkan pemeriksaan kesihatan gigi, fizikal badan, mata, telinga, pemakanan dan pertuturan.

“Selain kanak-kanak Kampung Permatang Badak, turut menerima pemeriksaan komuniti Lorong Wong Ah Jang,” katanya pada majlis penutupan program berkenaan, kelmarin.

Hadir sama Dekan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Ahmad Aidil Arafat Dzulkarnain.

Beliau berkata, program saringan awal kesihatan kanak-kanak diharap dapat diteruskan selepas ini dan tidak hanya menarik umpama kosmetik yang diadakan secara bermusim.- MOHD IMRAN IZZAD.