BERA: “Jangan sesekali membawa fahaman politik ke dalam masjid,” demikian peringatan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada umat Islam di negeri ini.
Sebaliknya baginda bertitah, masjid adalah tempat terbaik untuk melupakan persengketaan antara umat Islam dan orang Melayu.
“Masjid adalah tempat terbaik untuk kita bersatu padu. Insya-Allah, perpecahan yang berlaku antara umat Islam, lebih-lebih lagi orang Melayu kita, boleh diselesaikan jika kita bersatu hati di rumah Allah SWT ini.
“Masjid adalah tempat yang suci tanpa mengira apa latar belakang, perbezaan, warna kulit, mahupun fahaman politik kita,” titahnya sebelum memasyhurkan Majlis Perasmian Masjid Al-Muttaqin di Kampung Mengkarak, Triang di sini, semalam.
Turut mengiringi, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Masjid Al-Muttaqin yang menelan kos pembinaan RM1.4 juta, mula dibina pada 17 Mac 2014 dan digunakan 11 Mei 2016 serta mampu memuatkan 350 jemaah pada satu-satu masa.
Pada majlis sama, Tengku Hassanal Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan zakat kepada 100 penduduk kampung berhampiran selain menyampaikan kurniaan 10 komputer riba kepada anak-anak golongan asnaf. – HELMY ABD RAHMAN DAN HUSIN IBRAHIM