Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas terpilih mewakili Pahang pada ujian E-Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan kategori murid Orang Asli pada 15 November depan.
Husna Batrisyia Mat Sahlan terpilih mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan selepas dia muncul juara peringkat negeri.
Menurut Husna Batrisyia, rakaman bacaan al Quran dibuat kelmarin dengan bantuan pihak sekolah, kemudian diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
Katanya, banyak cabaran yang terpaksa dilalui antaranya terpaksa mengulang kira-kira 10 kali rakaman berikutan terlalu gementar.
“Saya perlu membaca surah ‘Abasa, ayat 1-26 , dalam lima minit. Bacaan perlu lancar dan tepat sebutannya. Kini, saya membuat persiapan lebih sebulan bagi menghadapi ujian E-Tilawah Al-Quran kebangsaan,” katanya.
Dia yang menetap di Kampung Penderas berkata, dia berharap penyertaan kali pertama ini akan berakhir dengan kejayaan, membanggakan keluarga, sekolah dan masyarakat di desanya.
Husna Batrisyia berkata, sokongan ayah, Mat Sahlan Sulung, 47, yang turut mengajarnya membaca al-Quran menambahkan lagi keyakinan bagi mencipta kejayaan pertama untuk Pahang.
“Saya berharap semua pihak dapat mendoakan kejayaan saya. Saya telah berusaha dan kini terpulang pada rezeki,” katanya.
Bagi Mat Sahlan yang bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), beliau hanya mampu mendoakan kejayaan anaknya yang tidak mengenal erti jemu membuat ulangkaji bacaan.