Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan baharu diingatkan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.
Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan.
Memetik portal UMNO Online, beliau berkata, perubahan yang diinginkan itu adalah supaya negara terlepas daripada ancaman pandemik COVID-19 yang semakin buruk.
Menurutnya, apa yang berlaku sebelum ini perlu dijadikan sempadan di samping tidak mempertaruhkan nyawa rakyat.
“Membuka sekolah ketika kes sedang tinggi akan meletakkan murid dan guru dalam bahaya dan ia adalah kurang wajar,” katanya.
Beliau berkata, membenarkan sektor berisiko beroperasi adalah tindakan berat sebelah dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).
“Kompaun terhadap rakyat seharusnya bersifat mendidik bukan menghukum. ‘Trial and error’ sehingga mengundang ‘flip flop’ hanya akan membawa kekeliruan dan menyusahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pemberian kemudahan moratorium hendaklah tidak bersifat ‘refinance’ yang menguntungkan pemiutang.
“Kebenaran pengeluaran wang caruman KWSP yang tidak menyeluruh dilihat gagal membantu rakyat secara total,” katanya.
Beliau berkata, titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu dijunjung atau kelak dianggap membelakangi perlembagaan.
“Usahlah ambil mudah nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar kesihatan,” katanya.