Usah ke Kampung Gumum jika tiada urusan

Usah ke Kampung Gumum jika tiada urusan

RTP Online 

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Penduduk Orang Asli Kampung Gumum, di sini, memasang penghadang jalan dan nota amaran bagi menyekat orang luar tanpa urusan masuk ke desa mereka.

Penduduk Kampung Gumum meletak penghadang jalan dan papan notis melarang orang luar memasuki kampung mereka  bagi mengelak wabak COVID 19

  Batin Awang Alok, berkata hadangan dan nota amaran bertujuan menjaga keselamatan penduduk daripada dijangkiti wabak COVID-19.

  Katanya, walaupun kerajaan melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk berharap aktiviti keluar masuk orang luar ke Kampung Gumum tidak terlalu bebas.

  “Lebih baik kita beringat sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kerana wabak COVID-19 terlalu mudah berjangkit. 

  “Bukan kami sahaja yang melarang orang luar datang, banyak lagi kampung Orang Asli di negeri ini berbuat demikian,” katanya.

Nashita Dewi K Paramanantham

  Beliau berkata, terdapat kira-kira 500 penduduk Orang Asli menetap di Kampung Gumum, dan setiap hari mereka keluar masuk bagi mendapatkan keperluan harian di Kampung Salong dan pekan Chini.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham berkata, memang menjadi tanggungjawab tok batin mengawal kemasukan orang luar masuk ke kampung itu sejak PKP dan apatah lagi apabila Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan.

  “Kami sendiri pun tidak keluar dari kampung ini kerana takut dijangkiti wabak COVID-19, apatah lagi jika orang luar mahu masuk tanpa urusan ke kampung ini,” katanya yang mengusahakan perusahaan herba Tongkat Ali.

  Sementara itu Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata tindakan penduduk membina penghadang jalan itu adalah inisiatif penduduk bagi mencegah penularan COVID-19.