Usaha JPNP memulihara Hutan Simpan Chini dihargai

Usaha JPNP memulihara Hutan Simpan Chini dihargai

KUANTAN: Usaha menghijaukan semula Hutan Simpan Chini yang dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) seharusnya dihargai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berkata, usaha pemulihan kawasan bekas lombong bijih besi itu perlu dilakukan dalam memastikan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, peranan JPNP bukan sahaja bertanggungjawab dalam pengeluaran hasil hutan tetapi turut terbabit dalam program pemulihan kawasan hutan yang sudah diteroka.  

“Saya dapati JPNP terbabit secara langsung dalam usaha menghijaukan kawasan Hutan Simpan Chini dengan tanaman penutup bumi dan beberapa spesies pokok balak berkualiti tinggi.

“Sokongan kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan besar bagi memulihkan kawasan itu adalah tindakan tepat,” katanya selepas menyertai program menanam pokok balak di Hutan Simpan Chini sempena Kempen Penanaman 5 Juta Pokok@Pahang, di sini, baru- baru ini.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat setempat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menjayakan program itu dapat melancarkan usaha pemulihan kawasan terbabit.

Mohd Sharim berkata, apa yang diharapkan Hutan Simpan Chini kembali menghijau seterusnya menjadi produk pelancongan kedua selepas Tasik Chini yang telah terkenal sekian lama. – MOHD IMRAN IZZAD.