Usaha kerajaan negeri martabatkan pendidikan al-Quran di sekolah

Usaha kerajaan negeri martabatkan pendidikan al-Quran di sekolah

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Guru-guru Quran Asrama Pahang untuk kegunaan persatuan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kebajikan ahli persatuan itu mendapat perhatian YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Insiatif ini antara langkah kerajaan negeri memartabatkan pendidikan al-Quran di negeri ini,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung anjuran persatuan terbabit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi pelaksanaan aktiviti persatuan selain untuk memberi semangat dan dorongan kepada para guru supaya terus mendidik serta melahirkan generasi bijak al-Quran.

“Kerajaan negeri juga baru-baru ini menaikkan elaun guru al-Quran asrama sebanyak RM200 menjadikan jumlah elaun yang mereka terima sebanyak RM900 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan supaya persatuan berkenaan bekerjasama rapat dengan jabatan berkaitan termasuk JAIP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) terutama dalam urusan membabitkan agensi-agensi lain.

“Dalam urusan yang membabitkan agensi lain seperti permohonan caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) oleh persatuan perlu melalui prosedur dan kerjasama dengan agensi berkaitan adalah sangat penting,” katanya. – FATH AHNAF