LIPIS: Penduduk bandar Kuala Lipis akan mendapat Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) yang akan dibina Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sekaligus memberi keselesaan kepada peniaga.
Penyandang Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata PTKM kekal itu akan dibina di sebelah Taman Cheneras Jaya.
“Alhamdulillah syukur, perjuangan saya sejak 2014 akhirnya berjaya direalisasi dengan bakal terbinanya PTKM.
“Tiap kali saya ke pekan sehari, saya memang tak sampai hati melihat penjual terpaksa bentang tikar untuk berniaga barangan mereka,” katanya selepas majlis pecah tanah PTKM, di sini, pada 22 Oktober lalu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA, Rosilawati Abu Hassan dan Pengarah FAMA Negeri Pahang, Saiful Sadri.
Katanya, PTKM Kuala Lipis yang dibina dengan kos belanja RM3.11 juta dan mempunyai 58 lot niaga dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2023.
“Oleh itu, usahawan tani tidak perlu risau lagi dengan faktor iklim seperti hujan atau pasar tani ditutup disebabkan oleh faktor pembangunan setempat,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE