Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic
KUANTAN: Pada usia emas, rata-ratanya individu lebih selesa berehat dan melakukan aktiviti harian yang tidak membabitkan tenaga.
Namun, ia berbeza dengan 35 ahli Kelab Jembara Al-Fallah yang sebahagian besarnya dikategorikan warga emas memilih untuk berkhidmat membantu masyarakat yang ditimpa musibah.
Keprihatinan dan niat murni kelab itu tidak menghalang mereka untuk membantu penduduk yang terkesan akibat banjir besar melanda Pahang, baru-baru ini.
Dengan ahli yang berumur antara 60 dan 70 tahun, mereka masih mampu menghulurkan sumbangan daripada segi tenaga terutama membersihkan masjid dan surau yang ditenggelami air.
Pengerusi kelab itu, Abdul Rahim Othman berkata, soal umur tidak menjadi halangan kerana didorong oleh keihlasan untuk meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana banjir itu.
Katanya, biarpun sebahagian besar ahli berumur 60 hingga 70 tahun, ia tidak membataskan usaha mereka untuk turut sama membantu.
“Sebelum pelaksanaan Peringkah Kawalan Pergerakan (PKP), daerah Maran dan Pekan menjadi destinasi pilihan dalam kerja pembersihan masjid dan surau yang terjejas banjir.
“Sebenarnya masjid dan surau menjadi pilihan kami kerana kebanyakan mangsa banjir akan memberikan tumpuan membersihkan rumah masing-masing.
“Atas inisiatif itu kami bergerak dari Kuantan ke Maran dan Pekan dengan memilih masjid dan surau untuk operasi pembersihan demi keselesaan kepada jemaah yang ingin menunaikan solat,” katanya.
Abdul Rahim berkata, inisiatif itu juga kerana menyedari sukarelawan tidak dapat merentas negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Justeru, katanya, Kelab Jembara Al-Fallah mengambil inisiatif membantu membersihkan masjid dan surau dengan membawa kelengkapan untuk memudahkan kerja pembersihan.
“Kami menggunakan kenderaan sendiri ke lokasi yang dipilih untuk memudahkan segala urusan.
“Diharapkan dengan bantuan ini dapat meringankan beban terutama di kalangan pengurusan masjid dan surau untuk memastikan jemaah dapat menunaikan solat dengan selesa,” katanya.